Permaisuri

Malam itu. Dia resah, tidak setenang selalu. Hati seperti tidak mengerti perasaan. Dia memandu ke mana saja yang diarah kaki dan tangannya. Akhirnya dia terhenti di sebuah restoran. Dia melangkah masuk. Tersenyum melihat gelagat pekerja restoran yang teramat sibuk dengan kehadiran pelanggan pelanggan disitu. Dia duduk di meja yang terletak di sudut paling hujung di restoran itu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Awak tunggu di sini kejap.."
"Eh, awak nak pergi mana ni..?"
"Sekejap saja, saya janji.."
"Okay..."

Haris. Dia Haris yang telah melakukan jenayah besar iaitu mencuri hatinya. Dari jauh dia melihat Haris berlari lari anak membawa dua mangkuk aiskrim dengan kedua dua belah tangannya. Senyuman paling manis terukir olehnya.

"Awak pergi mana..?"
"Beli aiskrim peveret awak, aiskrim mekdi.."
Hari itu dia menjadi permaisuri raja yang paling bahagia sekali dalam dunia. Permaisuri kepada Raja Haris.

~~~~~~~~~~~~~

Malam itu tenang seperti biasa. Seperti yang dijanjikan Haris mengambil dia dari rumah. Haris menutup matanya dengan kain hitam. Katanya itu surprise sempena hari jadi dia yang 22 tahun.

"Tepat jam 12 malam.."
Haris membuka matanya yang telah ditutup kain hitam tadi. Lampu menara berkembar KLCC ditutup dari atas ke bawah. Cantik. Haris memegang tangannya lembut.
"Sudikah awak menjadi permaisuri dalam hidup saya?"
Jatuh. Jatuh air mata dipipinya.

~~~~~~~~~~~~~~

Dia mengelap air mata yang jatuh di pipinya. Dia masih duduk di meja yang terletak di sudut paling hujung restoran itu. Meja yang ditempah Haris untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka sebulan yang lalu. Hari ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama tanpa Arwah Haris.

No comments:

Post a Comment